Rabu, 7 Julai 2010

TEPAK SIREH


Tepak sirih khas digunakan sebagai barang perhiasan dan dalam upacara-upacara rasmi. Oleh kerana tepak sirih penting dalam adat istiadat, ia tidak layak digunakan sembarangan, tambahan pula harganya mahal dan susah untuk dijaga dan dibersihkan.
Semasa Kerajaan Melayu Melaka dipertengahan abad ke15, diceritakan bahawa Pahlawan lagenda Hang Tuah telah memberikan kepada Hang Jebat sepiak sirih di dalam tepak sirih kepunyaan Sultan Mahmud semasa berhenti rehat dalam pertarungan, sebelum merampas keris sakti bernama Taming Sari dari tangan Hang Jebat sebelum dapat membunuhnya di atas penderhakaan terhadap Sultan Melaka.
Dizaman awal Kesultanan Melayu Perak, terdapat dua buah tepak sirih yang diperbuat dari emas bernama Puan Bujur dan Puan Naga Taru telah dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia ketika itu. Ianya masih tersimpan sebagai khazanah berharga istana Sultan Perak hingga kini
Di dalam tepak sirih terdapat cembul-cembul yang digunakan untuk menyimpan ramuan sirih pinang. Cembul-cembul ini seharusnya disusun mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh orang-orang dahulu.
ttpk.jpg (51062 bytes)
                  Kedudukan Cembul
                   Dalam Tepak Sirih
Dulang tepak sirih ini dibahagikan kepada dua bahagian, di bahagian atas disusun empat cembul mengikut susunan iaitu pinang, kapur, gambir dan tembakau. Di bahagian bawah pula disusun cengkeh, sirih dan kacip. Begitu juga dengan tepak sirih yang berbentuk bulat, cembul akan disusun keliling di dalamnya mengikut aturannya.  Masyarakat Melayu menamakan tepak sirih berbentuk bujur sebagi puan dan tepak yang berbentuk empat segi bujur.
Terdapat juga daun-daun sirih ini dimasukkan kedalah bekas sirih terlebih dahulu, ianya tidak disisipkan di dalam tapak begitu sahaja, ini kelihatan lebih teratur dan kemas.
Bagi masyarakat Melayu, sirih disusun sedemikian rupa untuk menunjukkan tertib ketika mengapur sirih, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Daun-daun sirih yang disusun dalam tepak sirih hendaklah dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya, disusun sebanyak lima atau enam helai dalam satu baris. Satu tepak sirih selalunya mengandungi empat atau lima susun sirih tadi.
Sirih yang berlipat ini wajib dibuat kerana hendak mengelak dari terlihat ekor sirih itu. Ekor sirih tidak boleh dinampakkan kerana pada anggapan mereka ini adalah satu keadaan yang kurang sopan dan tidak menghormati tetamu. Tepak sirih yang telah lengkap ini dihias dengan bunga dan dibungkus dengan kain songket. Tepak sirih seperti ini dinamakan tepak sirih adat.
Tepak sirih terdiri daripada komponan berikut: Bekas sirih, Cembul, Bujam Epok, Kacip, Gobek, Celepa dan Ketur. Tetapi kini budaya makan sirih jarang menggunakan lagi Bujam Epok sebagai satu peralatan lengkap.
Manakala kandungan cembul pula terdiri daripada: Daun sirih, Pinang, Gambir, Tembakau, Cengkih dan Kapur.

Sabtu, 3 Julai 2010

SIREH


Sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia juga di kawasan Tropika Asia, Madagascar, Timur Afrika dan Hindia Barat. Sirih yang terdapat di Semenanjung Malaysia terdiri daripada empat jenis, iaitu sirih Melayu, sirih Cina, sirih Keling dan sirih Udang. Spesis sirih terdapat berbagai-bagai nama tersendiri dalam bahasa Indonesia seperti Sirih carang, Be, Bed, Siyeh, Sih, Camai, Sirih kerekap, Serasa, Cabe, Jambi, Kengyek dan Kerak. 
Nama saintifiknya adalah Piper betel Linn dalam keluarga Piperaceae.  Nama betel adalah dari bahasa Portugis - betle, berasal sebelumnya dari bahasa Malayalam di negeri Malabar yang disebut vettila. Dalam bahasa Hindi lebih dikenali pan atau paan dan dalam bahasa Sunskrit pula disebut sebagai tambula.  Manakala dalam bahasa Sinhala Sri Lanka disebut bulat. Bahasa Thai pula disebut sebagai plu.
g.daunsirih1.jpg (54165 bytes)
    Daun Sirih Melayu

Sifat tabii sirih adalah sejenis pepohon yang menjalar dan memanjat pada batang pokok sekelilingnya atau kayu junjung. Bentuk daunnya agak bujur [bujur sirih].  Daun-daun sirih yang subur berukuran antara 8sm. - 12sm. lebar dan 10sm. - 15sm. panjang.  Sirih sesuai hidup dengan ditanam di atas tanah gembur yang tidak terlalu lembab dan memerlukan cuaca tropika untuk membiak subur dengan air yang mencukupi.
Sirih Cina mempunyai rasa yang lebih lembut daripada sirih Melayu. Sirih Udang pula mempunyai urat daun di belakangnya yang berwarna merah dan gagangnya juga berwarna merah. Sirih Melayu adalah yang digemari dikalangan pengamal makan sirih dan juga kegunaan di dalam adat resam, dimana sirih ini berdaun lebar dan warnanya hijau pekat. Sementara Sirih Keling pula bersaiz sederhana dan berwarna kehijauan kusam, rasanya yang lebih pedas serta agak keras daunya ketika dimakan.
g.daunsirih6.jpg (18654 bytes)
Daun Sirih Keling     
Rasa sirih adalah disebabkan oleh minyak ruapan yang mengandungi fenol dan bahan-bahan terpene yang menyebabkannya pedas. Bahan-bahan yang terdapat dalam daun sirih ialah kalsium nitrat, sedikit gula dan tannin.
Faktor-faktor yang menentukan keenakan sirih adalah jenis sirih itu, umurnya dan cahaya matahari serta keadaan daun-daunnya di bahagian atas tumbuhan itu. Daun sirih untuk dimakan adalah daun-daun melintang di bahagian atas dahan-dahan sisi dan yang terbaik adalah yang terbesar sekali.  Sirih hutan tidak boleh dimakan, selain daunnya yang keras rasanya juga tidak enak. Ia tumbuh dipohon pokok yang terdapat di hutan hujan tropika
sirihutan1.jpg (38666 bytes)
Sirih Hutan


g.daunsirih2.jpg (89186 bytes)
g.daunsirih5.jpg (60315 bytes)
g.daunsirih4.jpg (438684 bytes)
g.daunsirih3.jpg (62813 bytes)
Sirih dijunjung

Sirih Melayu

Sirih dipokok

Sirih Keling

Daun-daun bawahnya yang cacat (bersaiz kecil) dibuat ubat dan penawar oleh Dukun Melayu. Sirih bertemu urat adalah yang menjadi pilihan kepada Mak Bidan dalam ilmu perubatan tradisional. Pada masa kini, kegunaan sirih masih lagi penting dalam masyarakat Melayu walaupun bilangan orang yang memakannya mula berkurangan.
g.daunsirih7.jpg (53710 bytes)
Sirih bertemu urat

Jumaat, 2 Julai 2010

PINANG

Tumbuhan tropika ditanam untuk mendapatkan buahnya dan kerana keindahannya, sebagai hiasan taman Tingginya antara 10 hingga 30m dan meruncing dibahagian pucuk, ukuran melintang batang pokok 15sm. hingga 20sm.  Dibahagian jemala (crown) pokok ini berbentuk bulat dan berwarna hijau semasa muda dan apabila masak ia menjadi kuning dan merah.
Nama saintifik bagi pinang ialah Areca Catechu.  Dalam bahasa Hindi buah ini dipanggil supari dan pan-supari sebagai sirih pinang. Tetapi bahasa Malayalam dipanggil adakka atau adekka, Sri Lanka pula dikenali sebagai puvak, Thai sebagai mak dan masyarakat Cina memanggilnya dengan nama pin-lang.
Pokok ini membiak dengan cara menanam biji yang sudah cukup masak. Biasanya biji itu disemai dulu dan kemudian ditanam di dalam pasu atau beg plastik. Semasa kecil pokok ini sesuai dijadikan pokok hiasan pasu. Apabila sudah besar, elok ditanam di luar.
g.pinang1.jpg (481767 bytes)
                 Pokok Pinang

g.pinang2.jpg (75988 bytes)
                   Isi Pinang
Buahnya boleh digunakan untuk perubatan. Pucuk Areca Catechu dan pucuk-pucuk dari Areca Borneensis dan Areca Triandra boleh dimakan. Pucuk Areca Hutchinsoniana digunakan sebagai penghapus parasit. Hampas pinang rebus pula diletakkan pada luka-luka.
Alkaloid dalam pinang termasuklah arekolin, arekaidin, arekain, guvacin, arekolidin, guvakolin, isoguvakolin dan kolin. Arekolin yang toksik, bertindak sebagai dadah nikotin ke atas sistem saraf. Ia menyebabkan sawan yang berakhir dengan lumpuh. Kematian adalah disebabkan oleh terhentinya pernafasan.
Arekolin adalah penghapus parasit dan cacing serta bertindak seperti asetil kolin. Pinang mengandungi lebih kurang 15% tanin merah dan 14% lemak. Tanin dalam pinang digunakan untuk merawat cirit-birit. Campuran pinang bersama bahan-bahan lain digunakan untuk kayap.
Buah pinang muda dikunyah dan airnya ditelan untuk mengubati darah dalam air kencing. Jus pinang muda digunakan sebagai ubat luar untuk rabun bila dititik pada kornea; ditelan untuk demam, histeria, disenteri (cirit berdarah) dan pirai.
Pinang muda dan benzoin disapukan pada luka berkhatan. Pinang yang dikunyah digunakan untuk sengatan sotong kereta. Abu pinang digunakan untuk mencuci gigi, tetapi jika terlalu banyak akan merosakkan gigi. Jus pucuk pinang dan Euphorbia Linta diberi tiga hari selepas bersalin.
Akar dan sabut pinang yang separuh reput digunakan untuk disenteri (cirit berdarah). Akar pinang juga digunakan untuk membanyakkan kencing dan mengubati sakit perut. Campuran daunnya digunakan untuk memandikan kanak-kanak yang cirit-birit. Serbuk daun pinang bersama daun Atalantia dan limau digunakan untuk sakit perut. Serbuk pinang boleh membuang cacing gelang dan cacing kerawit. Ekstrak pinang didapati menghasilkan barah bila diletak pada selaput lendir hamster.
pinang3.jpg (39737 bytes)
pinang2.jpg (38589 bytes)
pinang9.jpg (40822 bytes)